Pages

Hidup perlu diteruskan...pasrahlah pada Yang Esa kerana sesungguhnya hidup dan mati ini hanya untuk Allah!

Thursday, December 15, 2011

19 Peringatan dan Amaran Kepada Wanita

1. Pertama urusan yang ditanyakan pada hari akhirat nanti ialah mengenai solat dan mengenai urusan suaminya (apakah ia menjalankan kewajibannya atau tidak).
2. Apabila lari wanita dari rumah suaminya tidak diterima solatnya sehingga kembali ia dan menghulurkan tangannya kepada suaminya (meminta ampun).

3. Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi agar mereka tercium bau harumnya maka dia adalah perempuan zina dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina.

4. Sebaik-baik wanita ialah tinggal di rumah, tidak keluar kecuali atas urusan yang mustahak. Wanita yang keluar rumah akan dipesonakan oleh iblis. Sabna Nabi s.a.w. : Perempuan itu aurat, maka apabila ia keluar mendongak syaitan memandang akan dia.

5. Haram bagi wanita melihat lelaki sebagaimana lelaki haram melihat wanitayang halal nikah kecuali dalam urusan menuntut ilmu dan berjual beli).

6. Diriwayatkan bahawa pada suatu hari ketika Rasulullah s.a.w. bersama isteri-isterinya (Ummu Salamah r.ha. dan Maimunah r.ha.), datang seorang sahabat yang buta matanya (Ibnu Maktum) Rasulullah s.a.w. menyuruh isteri-isterinya masuk ke dalam. Bertanya Ummu Salamah, “Bukankah orang itutidak dapat melihat kami, Ya Rasulullah ?” Rasulullah s.a.w. menjawab,”Bukankah kamu dapat melihatnya.”

7. Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaan berhias (bukan untuk suami dan mahramnya) adalah seumpama gelap-gelita pada hari Qiamat tiada Nur baginya.

8. Mana-mana wanita yang bermasam muka menyebabkan tersinggung suaminya,maka wanita itu dimurkai Allah sehingga ia bermanis muka dan tersenyum mesra pada suaminya.

9. Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat kalau suaminya ada dirumah serta tidak seizinnya dan tidak boleh memasukkan seseorang lelaki ke rumahnya dengan tidak seizin suaminya.

10. Hendaklah isteri berpuas hati (redha) dengan suaminya yang telah dijodohkan oleh Allah, samada miskin atau kaya.

11. Perempuan tidak berhak keluar dari rumahnya melainkan jika terpaksa (kerana sesuatu urusan yang mustahak) dan ia juga tidak berhak melalui jalan lalu lalang melainkan ditepi-tepinya.

12. Apabila memanggil lelaki akan isterinya ke tempat tidur tetapi ditolaknya hingga marahlah suaminya, akan tidurlah wanita itu dalam laknat oleh malaikat ke pagi.

13. Wanita-wanita yang menggunakan lidahnya untuk menyakiti hati suaminya,ia akan mendapat laknat dan kemurkaan Allah, laknat malaikat juga laknat manusia sekalian.

14. Tidak harus seseorang manusia sujud kepada manusia dan jika diharuskan,maka akan aku perintahkan semua kaum wanita sujud pada suaminya kerana membesarkan dan memuliakan hak-hak suami mereka.

15. Wanita yang menyakiti hati suaminya dengan lidahnya pada hari Qiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat kebelakang tengkoknya.

16. “Aku lihat api neraka, tidak pernah aku lihat seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakkan ahli neraka ialah wanita.” Rasulullah s.a.w. ditanyai, “Mengapa demikian Ya Rasulullah?” Jawab Rasulullah s.a.w. “Wanita mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ehsannya. Jika engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum rasa berpuas hati dan cukup.”

17. “Kebanyakkan ahli neraka adalah terdiri dari kaum wanita.” Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka, “Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?” Jawab Nabi s.a.w. “Tidak, mereka ini ialah mereka yang tidak bersyukur akan nikmat suaminya, sesungguhnya tiap-tiap seorang kamu adalah dalam nikmat suaminya.”

18. Keadaan wanita 10 kali ganda seorang lelaki di dalam neraka dan 2 kali ganda seorang lelaki di dalam syurga.

19. “Kebanyakkan wanita itu adalah isi neraka dan kayu api.” Hazrat Aishah bertanya, “Mengapa wahai Rasulullah s.a.w.?” Jawab Rasulullah s.a.w. :

Sunday, December 11, 2011

Takut dengan 2012 ???

Setiap masa bila terbayangkan tahun 2012 aku jadi takut...banyaknya kerja yang nak kena buat tahun depan. Rasa macam belum bersedia bertemu dengan tahun 2012, terlalu risau, runsing dan takut. Kenapa aku perlu takut...aku perlu kuat dan tabah dan berserah sahaja kepada Allah...semoga Allah mempermudahkan segala urusanku untuk tahun depan dan tahun-tahun seterusnya.

Satu sebab utama aku merasa takut sebab aku belum bersedia sepenuhnya untuk menghadapi kerja-kerja aku tahun depan. Banyak benda baru yang aku bakal hadapi tahun depan. Gelaran DG44 pasti akan berikan aku kerja baru yang perlu aku hadapi tahun depan. Namun bila dikenangkan, selama ni pun aku memang dah buat macam-macam kerja dah...itu yang aku takut, tak dapat nak bayang apa yang akan aku hadapi tahun depan. Tanggungjawab itu aku rasakan berat...padahal aku belum pun mengharunginya...aku kena kuat, jangan mudah mengalah.

Ya Allah, bantulah aku...
Akulah hambaMu yang lemah
Yang tak punya hati yang kental
Aku terlalu lemah bila mengenangkan tanggungjawabku
Sedangkan aku sendiri tidak tahu apa yang akan aku alami
Aku tak sepatutnya bersikap begini...namun
Aku punya hati yang lemah
Berilah aku kekuatan Ya Allah
Aku hanya mampu memohon kepada Mu
Bantulah aku menjadi yang terbaik
Yang mampu aku lakukan dan lalui
Hati dan diri ini hanya mampu berserah
Yang hanya mampu berserah...Pasrah
TABAHKANLAH AKU YA ALLAH!

Friday, December 9, 2011

Selamat Tinggal Yang Nyata

Sekarang aku benar-benar telah melupakannya...benar sangkaanku...luka ini pasti hilang bersama perginya waktu. Aku bersyukur kepada Allah kerana sentiasa memberikan aku kekuatan untuk melupakan dan menghilangkan segala perit jerih menanggung luka dan marah hati ini. Alhamdulillah.

Aku mula membina tembok hati ini agar kuat dan tidak mudah membiarkan kenangan baru tercatat di hati ini...biarlah kenangan lalu pergi meninggalkan otak fikiranku dan terus hilang tanpa perlu menongkah arus rindu...aku tidak sanggup mengulanginya lagi...berulang bererti sengaja menyakiti hatiku sendiri...pergilah kau jauh dari hati dan hidupku kerna sesungguhnya aku amat tidak memerlukan kau...harap kau faham!

Hidup Ini Suatu Perjuangan

Hari ni jumpa dengan kawan lama...lama sungguh tak jumpa dia, lebih kurang 2 tahun. Setelah sekian lama tak jumpa, tahu-tahu dia dah bercerai dengan suami dia. Kesian dia...tapi pasti semua yang berlaku itu ada hikmahnya. Aku sendiri tidak mengerti bagaimana semuanya boleh berlaku, cuma yang pasti Allah yang lebih mengetahui apakah hikmah disebaliknya. Semoga kawanku ini mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat...dan dipermudahkan segala urusannya serta ditemukan jodoh dengan orang yang lebih baik dan menghargai serta menyayanginya sepenuh hati...Amin!

Bila usia meningkat tua...aku sentiasa mengenangkan kisah hidupku dan kawan-kawanku. Diusia remaja aku dan kawan-kawan hanya bergembira dan meluangkan masa bersama dengan penuh suka dan duka, namun tidak ada satu pun bayangan kehidupan masa depan dapat dilihat. Semuanya tidak pernah terbayangkan, hidup remaja penuh dengan ujian dan peperiksaan di sekolah, tidak sabar rasanya hendak habiskan belajar dan masa sekolah. Zaman belajar terasa panjang dan perit, tanpa sedar yang kehidupan selepas belajar jauh lebih merumitkan. Dugaan dan pengalaman hidup bagai tidak pernah berhenti menguji dan mendewasakan aku jua kawan-kawanku. Baru kini aku sedar...hidup ini suatu perjuangan yang panjang yang tidak tahu bila dan dimana noktahnya. Hanya mampu berdoa dan mengharapkan rahmat dan redha dari Allah.

Sukar sekali menggambarkan apa yang telah aku lalui...amat sukar sekali untuk memahamkan situasi ini kepada anak-anak didikku...tidak tercapai hasrat untuk meluahkan apa yang cuba diungkapkan...terlalu rumit. Mereka selalunya tidak percaya kalau aku katakan zaman persekolahan adalah zaman yang paling indah. Pastinya mereka juga seperti aku diusia mereka, tiada bayangan langsung apa yang aku akan lalui...apa yang aku sangkakan dan harapkan berlaku dalam hidupku jauh menyimpang dari sejarah hidupku yang aku benar-benar lalui.

Biarlah mereka belajar dari pengalaman hidup mereka sendiri kerana setiap insan ada ceritanya sendiri...dari mula belajar berjalan sehingga kini mampu terbang (naik kapal terbang laa)biarlah semuanya menjadi pelajaran bahawa Hidup Ini Suatu Perjuangan yang harus dilalui dengan penuh rendah diri kepada Allah. Biarlah mereka belajar sendiri...suatu masa nanti seusia aku mereka pasti merasai apa yang aku rasai...yang sukar sekali untuk aku ceritakan!

Jangan laa...pergi basuh tangan

Sedang sibuk memasak di dapur terdengar suara Harith menegur Eisya,

'Jangan laa...pergi basuh tangan', tegur Harith.

Macam biasa aku memang pantang dengar bising-bising ni. Terus bertanya...

'Kenapa Abang Harith?, Soal aku.
'Eisya ni dia pegang kura-kura', tengkah Harith.

Aku mula bising dan terus mengarahkan Eisya ke dapur dan membasuh tangan.
Bila ditanya kenapa Eisya pegang kura-kura, Eisya terus menjawab dengan sepenuh perasaan...

'Dia naik atas kawan dia', jawab eisya merujuk kepada kura-kuranya yang seekor tu yang memang suka buli kawan dia yang seekor lagi.
'Dia naik atas *pokok, lepas tu naik atas kawan dia pulak', tambah Eisya lagi dengan nada agak marah dan geram dengan sikap kura-kura keciknya yang suka membuli tu.

Aku dan papanya hanya tergelak membayangkan macamana kura-kura tu naik atas kawan dia dan Eisya cuba menjadi penyelamat si kura-kura yang dibuli...huhu...:D
EISYA si Penyelamat.

*Pokok tu pokok kecik kat dalam sangkar kura-kura tu je.

Friday, October 28, 2011

MACARONI & CHEESE


Bahan-Bahan :
1. 500 gm Macaroni
2. 40 gm butter
2. 500 ml susu segar
3. 35 gm / 3 sudu besar gandum
4. 100 gm mozarella,100 gm cheddar,50 gm parmesan (ikut citarasa sendiri ok)
5. Nutmeg, lada hitam & garam secukup rasa

Cara-caranya :
1. Rebus macaroni & asingkan
2. Cairkan butter...make sure apinya slow
3. Masukkan tepung gandum dan kacau rata
4. Masukkan susu & kacau sehingga mendidih,
5. Tambah nutmeg,lada hitam & garam
6. Angkat dari api dan masukkan separuh cheese & kacau
7. Campurkan macaroni yang telah direbus tadi
8. Masukkan separuh lagi cheese dan kacau lagi
9. Boleh bakar dengan suhu 220 celcius atau boleh dimakan begitu sahaja

sekiranya minat ....masukkan la chopped sausage / frankfurter...

Selamat Mencuba

Saturday, October 15, 2011

Kuih Bunga

Hummm...Resepi ni dari arwah ibu saya. Saya memang suka makan kuih ni tapi jarang buat sebab kat rumah saya ni saya je laa yang suka makan kuih manis-manis ni...boring kalau makan sorang-sorang. Sangat menarik untuk hidangan minum petang. Resepi ini adalah resepi turun temurun dan tidak ada dijual di mana-mana kedai pun so kalau nak makan kena buat sendiri...:D

Bahan-Bahannya :

3 sudu besar tepung beras
3 biji telur
Sedikit Garam
Gula Melaka + Air : Jadikan air gula melaka yang pekat

Cara-caranya :
1) Campurkan sahaja tepung beras, telur dan garam. Kacau rata
2) Panaskan minyak lebih kurang 2 mangkuk
3) Gorengkan adunan tepung dan telur tadi
4) Balik-balikkan sehingga warna keperang-perangan
5) Angkat dan hidangkan dengan air gula melaka

Cubalah...arwah ibu cakap ini kuih dari istana raja dulu-dulu...:D

Wednesday, October 5, 2011

UDANG GORENG TEPUNG

Bahan-Bahan :
Udang

Bahan perap :
Garam
Lada Hitam
Telur putih

Bahan Batter
:
Tepung Jagung
Telur merah

Cara-Caranya :
1. Gaul udang dengan bahan A
2. Panaskan minyak
3. Celupkan udang yang telah diperap ke dalam bahan batter
4. Goreng sehingga garing

*Resepi dari Rasa Halal Orient - Taiwan. Masuk kat sini siap-siap kot nanti lupa pulak...huhu...:D
*Dah try buat resepi ni tapi x menarik sangat...huhu

Monday, September 12, 2011

Terkejut jap!

Nak cerita pasal Eisya yang suka bagi terkejut kat orang ni...

Cerita 1....

Biasa laa...petang-petang papa akan ambil Eisya & Abang Harith kat rumah ibu...
Di suatu petang tu, naik aje kereta eisya terus cakap dengan papa.

Eisya : Papa, Eisya potong rambut
Papa : Hah! Eisya potong rambut?

Selepas bertenang sekejap papa bertanya lagi...

Papa : Kenapa Eisya potong?
Eisya : Mama yang potong

Dengan nafas lega, barulah papa faham maksud sebenar Eisya.
Papa terkejut sebab ingatkan Eisya potong rambut dia sendiri...lain kali jangan mudah panik bila dengar Eisya bercerita.


Cerita 2 ...

Suatu hari mama kena pergi kerja dan kebetulan Mak Lang (Sabrina) ada dekat rumah sebab weekend tapi biasa laa mama...kerja
Selepas mandikan Eisya...Mak Lang nak pakaikan baju Eisya. Baru je sarungkan baju, Eisya terus berkata-kata...

Eisya : Mak Lang, baju Eisya ada semut
Mak Lang : Hah! mana-mana?

Dengan tergopoh-gapah, Mak Lang terus membuka baju Eisya semula dan mencari-cari dengan teliti semut yang dimaksudkan Eisya....setelah tercari-cari semut tapi tak jumpa-jumpa jugak...

Mak Lang : Eisya, tak de la semut
Eisya : Ada...ni kat poket Eisya ( sambil menunjukkan seekor semut merah dekat poket bajunya )

Mak Lang terasa tertipu sungguh...rupanya semut merah tu hanyalah gambar semut jee...nasiblah Mak Lang hari tu, dikejutkan Eisya...hihihi

Sekali lagi...Lain kali jangan mudah panik dengar cerita Eisya!

Tuesday, September 6, 2011

IKAN SIAKAP TIGA RASA

Resepi ni dapat dari Hanis E Sungai Petani Kedah. Resepi asal dari Ayah Hanis, dapat dari Thailand (Panjang ceritanya). Yang penting...simple & best...I Like!


*Gambar bukan gambar sebenar tapi rupa dia lebih kurang sama...x sempat nak ambil gambar laa...terus ngap...lupa nak ambil gambar dulu

Bahan-bahannya :
Ikan siakap
Garam & kunyit / garam & tepung jagung

Bahan A :
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
10 biji cili api
*Semua bahan A dimayang nipis

Bahan B :
3 sudu besar Sos Plum
2 sudu besar sos cili thai
1 sudu besar sos tiram
1/2 cawan air

Cara-caranya :
1) Sapukan garam dan kunyit atau garam dan tepung jagung rata-rata pada ikan siakap
2) Goreng ikan siakap sampai garing
3) Tumiskan Bahan A sehingga garing dan angkat
4) Tutup api...masukkan semua Bahan B, kacau dan buka api semula
5) Biarkan mendidih dan masukkan semula Bahan A yang telah ditumis tadi
6) Biarkan mendidih dan angkat
7) Tuangkan ke atas ikan

*Jangan tuang sos tiga rasa tu awal sangat nanti kalau ikan tu dah sejuk tak sedap...tuang bila nak mula makan sahaja.

Cuba laa...boleh tambah nenas atau apa sahaja yang disukai dalam sos ni...ikut selera masing-masing tapi saya suka simple!

Saturday, August 6, 2011

Gulai Daging Masin Dengan Daun Kaduk

Bahan-bahannya :
1/2 kg daging
15 - 20 helai daun kaduk (banyak pun boleh)
3 keping asam keping
Garam dan gula

Bahan kisar :
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
2 inci kunyit hidup
1 inci lengkuas
10 tangkai cili api


Cara-caranya :
1) Daging diperap dengan garam lebih kurang 1/2 jam
2) Masak daging dengan api perlahan sehingga airnya kering
3) Masukkan bahan kisar dan kacau rata
4) Masukkan santan dan kacau untuk mengelakkan pecah minyak
5) Didihkan sehingga santan agak pekat
6) Masukkan garam dan gula secukup rasa
7) Akhir sekali, masukkan daun kaduk yang dipotong dua
8) Kacau sekejap dan tutupkan api, jangan biarkan daun kaduk terlalu layu

Selamat Mencuba...gambar lain kali baru masuk, lupa nak ambil gambar

Friday, July 29, 2011

Pancake


Resepi pancake ni asalnya saya ambil dari Jamie Olliver tapi dah dipermudahkan. Try laa..senang dan sedap

Bahan-bahannya :
6 sudu besar tepung naik sendiri...kalau tak pun boleh guna 6 sudu besar gandum + 1 sudu kecil serbuk penaik + 1 sudu kecil soda bikarbonat.
200 ml susu segar
1 sudu kecil garam halus
4 sudu besar gula castor
1 sudu besar butter yang dicairkan & disejukkan ( boleh juga guna minyak jagung )
2 biji telur ( asingkan )

Cara-caranya :
1) Gandum + susu + gula + garam + butter yang telah dicairkan, kacau rata
2) Masukkan telur merah dan kacau lagi
3) Telur putih dipukul sehingga kembang ( lebih kurang 3 minit dgn pemukul tangan )
4) Masukkan telur putih ke dalam adunan dan kacau rata ( Jangan kacau lama sangat )
5) Panaskan pan tidak melekat ( non stick pan ) dengan api kecil
6) Letakkan adunan mengikut tebal kesukaan masing-masing
7) Tidak perlu balik banyak kali, sekali balik je bila nampak adunan bahagian atas dah kering sedikit dan timbul buih-buih.


Sedap dimakan dengan madu dan peanut butter atau jam...selamat mencuba...^_^

Monday, June 27, 2011

Kambing Masak Pakistan


Bahan-bahannya :
*2 biji Bawang besar,
*2 inci halia,
*5 ulas bawang putih,
*10 biji cili api,
*kunyit
*Semuanya dikisar halus

Sekilo daging kambing
2 biji tomato
5 biji ubi kentang
1 sudu kecil Jintan putih dan 1 sudu kecil Lada hitam disangai dan dikisar halus

Cara menyediakannya:
1) Panaskan 1/3 cawan minyak masak
2) Tumis bahan kisar sampai naik bau, masukkan kunyit debu(kalau x guna kunyit hidup)
3) Masukkan daging kambing, masukkan secawan air dan biarkan mendidih dan daging kambing lembut
4) Masukkan bahan sangai yang telah dikisar halus
5) Tutup periuk sehingga air kering, kacau jarang-jarang
6) Bila dah pecah minyak (minyak kat atas), masukkan sebiji tomato yang dipotong kecil
7) Kacau dan tutup balik periuk sampai tomato hancur
8) Tutup api...dah masak.

Sedap dimakan dengan nasi atau roti. Nasi minyak @ nasi arab pun sedap.

Selamat menjamu selera.

Wednesday, June 15, 2011

Kuih Butir Nako Emas ( Biji Nangka Emas )


Bahan-bahan dan cara membuatnya :

1) 2 cawan kacang hijau yang telah dibuang kulitnya
(direndam samalaman, direbus sehingga hancur @ boleh dilenyekkan)
2) Campurkan dengan 200 ml santan pekat dan 3/4 cawan gula
3) Kacau sehingga kering dan boleh dibentuk
4) Bentukkan bujur sehingga habis adunan kacang itu tadi
5) Didihkan 2 cawan gula dengan 2 cawan air sehingga pekat
6) Sediakan 8 biji telur itik
(telur merah sahaja - dipukul sedikit dan ditapis)
7) Setelah air gula pekat, celupkan adunan kacang hijau yang telah dibentuk
tadi ke dalam telur merah dan masukkan ke dalam air gula pekat
8) Biarkan mendidih sekejap (agak-agak telur merah tadi masak)
9) Angkat dan ulang proses sehingga adunan habis...selamat mencuba

Gerenti sedap punya kuih!

Thursday, May 19, 2011

Yang penting dan utama

Kalau dulu aku tak faham bila mak aku cakap masa belajar tak boleh bercinta...
aku tak tahu kenapa ianya menjadi larangan
Pada aku asal pandai jaga diri kira ok lah...
Setakat main-main apa salahnya...cinta monyet laa gitu
Kalau dulu aku tak faham kenapa cikgu-cikgu tak bagi bercinta masa sekolah
aku tak tahu kenapa ianya dilarang keras
Kalau dulu aku tak faham kenapa ianya begitu penting untuk menjadi terlarang...
Tapi sekarang...
Aku faham dan aku tahu
Semuanya bersebab...cuma mereka yang masih muda tidak cuba memahaminya
Kerana tidak ada yang berterus-terang tentang sebab dan akibatnya
Kerana mereka tidak diperdengarkan tentang cerita-cerita sebab dan akibat
Sebab dan akibat itu penting...yelah 'ciri sejarah' laa katakan
Manusia yang mahu belajar dari sejarah adalah manusia yang tahu menilai
Bila aku dah tak lagi muda...
Aku melihat gelagat pelajar aku yang bercinta...
Aku cuba memahami kenapa mereka bercinta...
Tapi makin lama aku tengok...keadaan kadang-kadang nampak teruk
Baru sekarang aku faham kenapa semua orang tua tak suka orang muda bercinta masa sekolah...
Aku tengok...
Orang muda menangis kerana kecewa dengan cinta
Orang muda menangis kerana marajuk dengan cinta
Orang muda menangis kerana marah dengan cinta
Semuanya penuh dengan kekecewaan dan melemahkan jiwa
Semuanya tentang cinta nampak begitu penting...
Padahal yang paling penting
Yang paling utama
Yang paling wajib untuk orang-orang muda ini adalah pelajaran
Kerana mereka adalah di jalan Allah kerana mencari ilmu
Itu yang lebih penting...itu yang lebih utama
Bukannya cinta kepada semua penipuan yang tidak tahu arah penyudahnya...
Hentikanlah...semoga kamu semua sedar dan tahu menilai
Carilah kefahaman tentang kenapa cinta itu terlarang semasa masih di bawah umur
Semoga kamu semua faham...cintailah dirimu sebelum mencintai orang lain
Berikanlah diri kejayaan kerana cintakan dirimu...
Bukan melayan kekecewaan kerana cinta pada manusia yang tidak ada penyudahnya
Mintalah pada Allah agar kamu diberi petunjuk kearah kebaikan
Jangan menilai sesuatu dari kaca matamu sendiri
Cubalah fahami kenapa orang tua penuh dengan larangan
Kerana merekalah sejarah yang harus kamu tafsirkan
Kerana mereka lebih memahami liku-liku jalanmu
Kerana mereka lebih dulu makan garam...bak kata orang-orang tua...:D

Sekadar berkongsi kefahaman...kerana cinta sesama manusia!

Sunday, May 8, 2011

HARITH RASHDAN



Mama sayang Harith, Eisya n Papa...

Saturday, April 30, 2011

Alhamdulillah

Hari ni genap umurku 37 tahun mengikut kalendar masihi...
1 Mei 1974.
Segalanya penuh dengan pengalaman pahit dan manis...
Tiada yang dapat aku ramal atau sangkakan
Hanya Alhamdulillah tanda kesyukuran
Mengharapkan sinar tiada terhenti
Dilindungi Dirahmati Allah dunia dan akhirat...Amin

Sekadar berkongsi kisah penyeri jiwa...

Monday, April 18, 2011

Assalamualaikum Cikgu!

Bukan mudah menjadi Cikgu
Penuh Kesabaran
Penuh Pengorbanan
Kalau hati berat bersabar dan berkorban
Usahlah menjadi Cikgu

Bukan mudah menjadi Cikgu
Dicemuh dibenci kerana prasangka
Tiada niat melukakan hati
Tanggungjawab dan kasih sayang penuh di dada
Kalaulah bisa menyedarkanmu

Bukan mudah menjadi Cikgu
Penuh Kesabaran
Penuh Pengorbanan
Hanya Jauhari mengenal manikam
Hanya Allah yang tahu kebenarannya
Mengharapkan redha dan keberkatanMu

Bukan mudah menjadi Cikgu
Assalamualaikum Cikgu pengubat jiwa
Suka dan duka bergaul mesra
Menjadi tembok penguat hati dan jiwa
Berdoa untuk kesejahteraan semua

Assalamualaikum Cikgu!

Sunday, April 17, 2011

KUIH AKOK


Bahan-bahannya :
5 biji telur
200 ml pati santan
100 ml air
150 gm sula Melaka
30 gm tepung hgandum
3 helai daun pandan disiat-siat
2 cubit garam halus

Cara-caranya:
1. Masak air bersama gula Melaka hingga mendidih. Tutupkan api
2. Masukkan santan. Tunggu suam sedikit, kemudian masukkan telur yang telah
diramas-ramas dengan daun pandan supaya hilang bau telur.
3. Masukkan tepung dan garam,gaul rata dan tapiskan ke dalam bekas lain.
3. Panaskan oven pada suhu 200 darjah celcius. Panaskan acuan akok ke dalamnya.
Sapukan sedikit minyak dalam setiap acuan.
4. Isi penuh acuan dan bakar selama 10 minit.

Pulut Sekaya


Resepi ni sy belajar dari arwah mak saya,Hjh Wan Zainab Hj Muda.
Senang sangat...dan sedap.

Bahan-bahannya :

1 cawan pulut
1 cawan santan
8 biji telur
2 keping gula melaka(nise')
daun pandan
garam

Cara-caranya:

1. Rendam pulut ke dalam santan selama 30 minit
2. Kukuskan pulut bersama santan dan sedikit garam
3. Kacau pulut dan santan selepas 10 minit
4. Selepas 10 minit, tekan pulut tadi dengan menggunakan sudu
(celupkan sudu ke dalam air panas sekali sekala untuk mengelakkan pulut melekat pada sudu)
5. Kukus lagi selama 10 minit.

Untuk lapisan di atas pulut:

1. Ramas telur bersama daun pandan @ boleh gunakan esen vanila je
2. Masukkan gula melaka yang telah dicairkan dengan 2 sudu besar air
3. Tapis dan tuangkan ke atas pulut yang telah dikukus
(cucuk dengan garfu di atas permukaan pulut dahulu)
4. Kukus selama 30 minit.

Saturday, April 16, 2011

Ketupat Sotong 109-B


Bahan-bahannya :

10 ekor sotong sederhana besar
1 cawan beras pulut
2 cawan santan sederhana pekat
1/2 cawan santan pekat
1 keping gula melaka
sedikit garam dan gula
sehelai daun pandan

Cara-caranya :
1. Bersihkan beras pulut
2. Rendamkan di dalam santan sederhana pekat selama 30 minit.
3. Toskan beras (Santan rendaman pulut tadi dimasukkan ke dalam periuk)
4. Isikan beras pulut ke dalam sotong yang telah dibersihkan 2/3 penuh.
5. Kepala sotong disematkan ke badan sotong dengan lidi agar pulut tidak terkeluar
6. Susun ke dalam periuk yang mengandungi santan bekas rendaman pulut tadi
7. Masukkan daun pandan, gula melaka dan garam sambil dikacau hingga mendidih (anggaran pulut sudah masak)
8. Setelah mendidih masukkan santan pekat dan kacau lagi sehingga mendidih.
9. Siap dihidangkan dan boleh dimakan secara panas atau sejuk.

SELAMAT MENCUBA

Tuesday, March 29, 2011

Twinkle Twinkle Little Star



Anak-anak adalah permata terindah...mereka adalah amanah dari Allah untuk kita.

Monday, January 17, 2011

BILA RINDU ITU BERBISIK

SEBELUM CINTAMU KIAN MEKAR
SEBELUM KASIHMU KIAN PUDAR
SEBELUM KAU PERGI MENJAUH
KERNA HATI INI TAK BISA
MELIHAT DIRIKU TERSIKSA
MENANGGUNG PERITNYA RINDU ITU

MALAMKU TERGANGGU KERNA MARAH HATI INI
APA GUNANYA MENYAKITI HATI
MENAMBAH NANAH PADA LUKA
MENYIMBAH PEDIH PADA SEDIH
MENYIRAM AIR MATA PADA KESEDIHAN


Lancar tangan Mira mencoretkan madah rindu itu, sakit hati mira tiada siapa yang tahu. Mira hanya berserah, pasrah pada apa yang berlaku.'Pasti ada hikmahnya disebalik semua yang berlaku', detik hati Mira.

"Hai Mira, jom lunch." Tegur ema. Lamunan Mira terhenti, membiarkan perginya rindu itu. Sakit hatinya tak tertanggung lagi dek kerana rasa marahnya yang mendalam. Mira tersenyum kelat memandang ema.

'Jom', mira terus bangun mengikut ema yang tak sudah-sudah menegur rakan-rakan lain yang masih sibuk di meja kerja. Sikap ema yang periang sentiasa menjadi inspirasi semua orang. Mira sendiri mengaguminya, seolah-olah tidak pernah punya masalah.

Kereta dipandu laju, namun hati Mira tetap sedih, tak sabar rasanya menunggu hilangnya marah dan sedih hatinya. Masa akan berlalu dan semuanya pasti akan berlalu bersama waktu dan ketika yang kadang-kadang menguji kesabaran dan kekerasan hati Mira. Mira membiarkan ema berbicara, sambil menyambutnya dengan gelak kala kelucuan menyentuh hati. Namun sakit hati ni seolah-olah tidak pernah hilang, menjadi tembok besar menutup hati dan jiwa ini. Allah saja yang tahu derita hati ini.

Mira membiarkan semuanya berlalu sehingga marah beransur reda kerna Mira yakin bila marah ini hilang, pasti benci akan bertandang, menukar marah menjadi benci, menukar rindu menjadi nanah. Mira pasrah.

Malam yang dingin membuatkan Mira terkenang lagi segala penipuan dan kehinaan yang telah diberikan kepadanya. Semua persoalan yang tidak pernah terjawab menjadi teman kelukaan hati Mira. Kenapa sanggup menjadi penipu hanya kerana mementingkan diri sendiri ? Kenapa sanggup mengenepikan rasa belas hanya kerna pentingkan diri sendiri ? Kenapa aku yang menjadi mangsa dalam sebuah perhubungan yang sebelumnya penuh dengan kejujuran dan rasa percaya ? Kenapa mengkhianati hati ini yang benar-benar tulus dan ikhlas ? Kenapa susah benar berterus terang sedangkan itulah kunci perhubungan kami selama ini? Mira tahu tiada gunanya bersoal tapi tidak berjawab...namun hatinya terlalu kecewa dan luluh, tak sanggup menerima penghinaan ini. Mira hanya mampu meminta pada Yang Esa agar mentari kembali menerangi hati Mira yang kegelapan, membiarkan pelangi selepas hujan itu hilang dari pandangan dan luput dari hati , jiwa dan ingatan Mira.

Thursday, January 6, 2011

RESEPI MAKARONI BAKAR

Resepi asalnya lupa dah mana dapat...tapi as always memang suka mengubah resepi orang mengikut citarasa sendiri...so ada tambah laa kasi sesuai dengan lidah gitu...
Resepi ni untuk buat open house...kira dapat 4 mangkuk laa jugak

Bahan-bahannya:

500 gm makaroni (direbus sehingga lembut yang amat)
1/2 kilo daging cincang / 2 paket daging cincang
sebiji bawang besar
6 ulas bawang putih
2 sudu besar cili giling
1 tin tomato puree
10 batang sosej daging
1 tin cendawan butang (dipotong nipis)
4 tin susu cair
10 biji telur (saiz A)
4 kiub pati ayam
Keju cheddar

Cara-caranya:

1.Tumis bawang besar dan bawang putig hingga naik bau
2.Masukkan cili giling (sampai pecah minyak)
3.Masukkan daging cincang sampai kering airnya
4.Masukkan tomato puree, garam dan gula atau perasa yang dibenarkan oleh KKM
5.Masukkan cendawan butang
6.Masukkan makaroni yang telah direbus dan kacau rata

Dah siap masukkan ke dalam mangkuk (2/3 paras mangkuk)

1.Campurkan susu cair, telur dan kiub pati ayam (pastikan semuanya sebati)
2.Kacau rata dan tapiskan masuk ke dalam mangkuk makaroni tadi
3.Letakkan keju cheddar di atasnya
4.Bakar dengan suhu 180 darjah celcius selama 30 minit + -
(Buat api bawah dulu...lepas 15 minit api atas bawah pulak untuk hasil yang cantik)

Selamat Mencuba